Pages

I LOVE ALLAH

MENGAPA HAJAT KITA TIDAK MENEPATI KEHENDAK ALLAH?

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Seorang kanak-kanak akan meminta apa saja yang disukai kepada ibunya. Ibu yang penyayang pula menuruti saja kemahuan si anak yang merupakan anak tunggal. Jiwa anak yang lemah dan serba tidak mengetahui baik dan buruk sentiasa menuntut diberi kepuasan demi menenteramkan hawa nafsunya. Ibunya pula tidak pernah menolak permintaan si anak. Anda pasti boleh meneka bagaimana hasil didikan dan jagaan seorang ibu yang kurang ilmu dan lemah perasaan ini?


Cuba kaitkan kejadian ibu dan anak ini dengan keadaan diri kita sebagai hamba kepada Allah Taala. Kadang-kadang kita menghembus nafas yang panjang sambil mengeluh dan menyiksa diri sendiri jika apa-apa kemahuan hati tidak dapat diperolehi. Seperti anak kecil yang merajuk tidak dibelikan gula-gula. Dia tidak tahu makanan itu boleh menyakiti giginya.

Begitu pula halnya dengan hamba-hamba Allah. Ilmu yang ada pada akal mereka tidak sampai kepada ketinggian ilmu Allah SWT. Apa yang hawa nafsu mereka kata sedap sebenarnya tidak menurut ilmu Allah Taala. Orang beriman hendaklah akur dengan kehendak Allah seraya berkata: ”Kami mendengar dan kami taat”. Sebuah realisasi rasa keimanan yang menggugurkan segala pilihan manusia.


Mengapa kemahuan kita sering bertentangan dengan kehendak Allah Taala?

1. Menunjukkan ilmu manusia tidak mungkin menceroboh batas ilmu Allah Taala.

Setiap malam kita berdoa meminta hajat yang diidamkan tetapi tak pernah hajat itu menjadi kenyataan. Jodoh yang diharap tak kunjung datang, rezeki yang dikejar berlari lebih laju dari langkah kaki kita. Kadang-kadang keselamatan yang diminta tetapi musibah pula terpaksa ditanggung. Semua itu menunjukkan rahsia ilmu Allah telah menutupi akal fikiran manusia yang waras. Di sebalik pilihan Allah itu terdapat hikmah yang tak mungkin dicapai akal. Mungkin keadaan seperti sekarang ini lebih baik untuk agama dan akhirat kita. Jika semua yang kita mahu dapat dimiliki, boleh jadi kita akan mengalami kelalaian, takbur dan lupa diri sehingga memudaratkan agama kita.

Teori tokoh sains Islam terkenal, Profesor Harun Yahya tentang sains yang menguatkan akidah menyatakan: ”Tidak ada sekecil apapun peristiwa dalam hidup ini terjadi secara kebetulan. Hidup dan nasib nampak kelihatan tidak teratur, misteri, hebat dan kontradik, namun setiap elemennya adalah merupakan sistem keteraturan daripada sebuah reka bentuk holistik yang sempurna. Ini adalah fakta penciptaan yang tidak dapat disangkal.


Di dalam keserabutan antara keuntungan dan kerugian, nikmat dan siksa, sakit dan sihat, miskin dan kaya, iman dan kufur, semuanya itu berjalan sesuai senario yang Maha Pencipta untuk menggembeling jiwa manusia menjadi tangguh dan bermutu. Semua yang terjadi pada diri kita adalah baik belaka kerana ia adalah pilihan Allah yang lebih mengetahui yang terbaik untuk kita jalani. Siapakah kita yang mahu mempersoalkan kenapa Engkau tidak mengabulkan doaku wahai Tuhan?

Hal inilah yang membuatkan Nabi Ayyub AS hanya memilih pendekatan bertasbih memuji Allah SWT ketika ditimpa musibah sakit tenat dan malu meminta kurniaan kesembuhan kerana baginda tidak pasti, adakah kesembuhan itu baik untuk agamanya ataukah sebaliknya. Al-Quran menceritakan hal ini dalam firman Allah SWT yang bermaksud:


Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya: “(Ya Tuhanku), Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang”. (Surah al-Anbiya ayat 83)


Sebagai seorang Nabi mengapa baginda tidak terus meminta: Ya Allah, sembuhkanlah aku? Kerana keyakinannya kepada pilihan Allah, menyebabkan baginda tidak berani memilih untuk dirinya sendiri.

2. Allah Taala akan mengabulkan segala hajat di akhirat, yang tertangguh semasa di dunia.


Mengapa bersedih jika cita-cita kita tak kesampaian? Mungkin Tuhan akan mengabulkan permintaan kita itu di akhriat nanti. Mungkin dunia tidak sesuai untuk mewujudkan apa yang menjadi keinginan kita. Jika kita disuruh memilih, yang mana lebih bernilai di antara kemewahan di dunia atau akhirat? Adakah sama perhiasan dan wanita, kedudukan dan ketinggian darjat semasa di dunia dengan di akhirat? Jika insan yang memilih kenikmatan dunia berbanding balasan di akhirat mengetahui perbezaannya nescaya dia akan memuntahkan segala kenikmatan dunia dari dalam perutnya.

Ketika Rasulullah SAW terjumpa bangkai kambing yang telah busuk dan menjijikkan, baginda bersabda untuk mengajar kita tentang rahsia kehidupan yang mafhumnya: Demi Allah, sesungguhnya dunia ini lebih hina pada pandangan Allah daripada bangkai ini bagi kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).


Allah Taala berjanji di dalam Al-Quran bagi sesiapa yang memilih akhirat dengan firman-Nya yang bermaksud: ”Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat kelak.” Surah al-Syu’arak ayat 20.


Rugi sungguh jika semua hajat di dunia terus dimakbulkan oleh Allah Taala, kerana di akhirat nanti tidak tersisa sedikitpun untuk dinikmati. Yang mana pilihan anda?


3. Apa saja takdir yang dibenci merupakan balasan kejahatan diri sendiri yang disegerakan di dunia.

Kita tak mahu sakit, muflis, tersiksa dengan persekitaran dan hidup merana. Tetapi Allah Taala takdirkan kita mengalami semua itu, mengapa? Kerana Allah SWT menghendaki supaya kita tidak mengalami itu semua di akhirat nanti. Betapa susahnya menaruh sangka baik kepada Allah Taala. Biarlah musibah itu menjadi kafarah atas dosa-dosa kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Tiada seorang muslim menderita keletihan, penyakit, kesusahan hati, hingga duri tajam yang meunusuk dan mengganggunya, melainkan semua itu akan menjadi penebus bagi dosa-dosanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Cuba anda bayangkan, jika anda tidak pernah sakit, susah dan merana. Mesti anda merasa diri anda sempurna dan tidak berdosa. Padahal ramai manusia yang tenggelam dalam zon keselesaan, cuai dan tidak waspada terhadap kejahatan dirinya sendiri. Dengan datangnya musibah, setidak-tidaknya anda mengingati Allah SWT dan bergantung harap hanya sahaja kepada-Nya, bukan sama sekali kepada makhluk-Nya yang boleh membawa kepada syirik dan musnah ganjaran akhiratnya. Namun ramai manusia yang beranggapan bahawa musibah itu kerana kutukan Allah SWT atau sebab ’tulah’ kejahatannya kepada orang lain. Bukankah lebih baik kita menerima musibah di dunia daripada menderita siksaan akibat musibah di akhirat?

Akhirnya sampailah kita kepada pengetahuan tentang esensi dengar dan taat, reda dan akur atas pilihan Allah Taala ke atas diri kita. Rasulullah SAW memuji umatnya yang telah sampai ilmunya kepada ketinggian ini. Melalui sabda baginda yang bermaksud: ”Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin, segala sesuatu untuk dirinya adalah baik. Tidak mungkin terjadi sedemikian melainkan ke atas orang mukmin sahaja. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, jika menderita kesusahan dia bersabar.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Begitulah memandang sesuatu dengan sudut pandang Allah SWT, memikirkan sesuatu dengan bersandar kepada rahsia ilmu Allah SAW. Jawablah dengan hati yang reda dan penuh ketenangan serta keyakinan; Ya Allah! Kami dengar dan kami patuh atas segala pilihan-Mu, wahai Tuhanku.


Sumber :- DrJuanda.com

No comments:

Post a Comment